Gangguan sistem MyIMMs pulih sepenuhnya, tiada unsur serangan siber – KDN

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan gangguan sementara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang menjejaskan urusan pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara sudah dipulihkan sepenuhnya.

KDN dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang menjejaskan operasi sistem selama kira-kira tiga jam 45 minit.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama pasukan teknikal berkaitan segera melaksanakan proses pemulihan sebaik insiden dikesan.

“Hasil tindakan pantas yang diambil, sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dan kembali beroperasi seperti biasa dalam tempoh 45 minit selepas kerja-kerja pemulihan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

KDN turut menegaskan gangguan berkenaan tidak membabitkan sebarang insiden keselamatan siber.

“Tiada kebocoran, kehilangan atau kerosakan data direkodkan dan semua maklumat yang disimpan dalam sistem kekal selamat serta terpelihara,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sistem kritikal yang beroperasi secara berterusan dan mengendalikan jumlah transaksi tinggi memerlukan pemantauan serta penambahbaikan berterusan bagi memastikan kestabilan operasi berada pada tahap optimum.

Katanya, proses naik taraf sistem MyIMMs kepada MyNIISe juga sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan penyampaian perkhidmatan.

“JIM kini melaksanakan beberapa langkah pengukuhan termasuk peningkatan kapasiti storan dan infrastruktur sistem, pengukuhan mekanisme pemantauan masa nyata serta penambahbaikan pelan pemulihan gangguan,” menurut kenyataan itu.

KDN turut memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna sepanjang tempoh gangguan berkenaan dan memberi jaminan komited memastikan pengurusan pintu masuk negara berjalan lancar serta selamat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img