PH dan BN di Melaka umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak – Ab Rauf

BARISAN Nasional (BN) tidak menghalang sekiranya DAP membuat keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri kerana kerjasama kedua-dua parti diumpamakan seperti ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh DAP kerana penyertaan parti itu dalam pentadbiran negeri bukan berasaskan sebarang perjanjian rasmi.

“Apapun keputusan yang dibuat oleh rakan-rakan DAP yang menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan ini (ADUN lantikan) dan mengumumkan menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka kerana keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama kita bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak.

“Kita tidak mempunyai sebarang perjanjian rasmi yang membolehkan kita menuntut ‘harta sepencarian’. Kita sekadar bersanding tetapi tidak berpelamin,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri hari ini.

Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas DUN Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi ADUN lantikan.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang menegaskan keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, BN membentuk kerajaan negeri secara bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain.

Katanya, persefahaman yang diwujudkan bersama DAP hanyalah bagi mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Saya mengambil pendekatan, persefahaman yang ada di Putrajaya supaya perhiasan persefahaman itu diwujudkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain, untuk mendukung pembentukan kerajaan BN di negeri Melaka ini.

“Kedudukan mereka hanyalah sebagai pelengkap kepada gambaran perpaduan yang diwujudkan di Putrajaya. Sepanjang tempoh itu, kita berjaya mentadbir kerajaan dengan penuh harmoni tanpa sebarang prasangka sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga boleh menilai kematangan dan kebijaksanaan kerajaan negeri dalam mentadbir serta membangunkan Melaka sepanjang tempoh kerjasama itu.

Ditanya sama ada BN bersedia bertanding secara solo susulan keputusan DAP itu, Ab Rauf berkata, perkara itu akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Kita akan tuai buah bila dia masak. Maksudnya dalam bahasa kiasan, buah muda jangan dijolok, buah masak gugur sendiri,” katanya.

Terdahulu, DUN Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan ADUN Lantikan selepas mendapat sokongan 23 daripada 28 ADUN.

Empat ADUN DAP yang tidak menyokong ialah ADUN Kesidang yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh yang juga Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee serta dua Timbalan Exco iaitu ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong dan ADUN Banda Hilir, Leng Chau Yen.

Seorang lagi yang tidak menyokong ialah ADUN Bukit Katil, Adly Zahari (Amanah).

Mengulas pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pindaan itu, Ab Rauf berkata, beliau menghormati hak setiap parti politik untuk membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pertimbangan masing-masing.

“Saya tidak akan menjadikan perbezaan pandangan dasar ini sebagai permusuhan peribadi atau alasan untuk menyerang mana-mana pihak.

“Sekiranya terdapat sebarang keputusan rasmi berkaitan kedudukan dalam pentadbiran negeri, perkara itu perlu diuruskan secara tertib, profesional serta mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan segala urusan pentadbiran kerajaan negeri, pelaksanaan projek pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa.

Jelasnya, pelaksanaan ADUN lantikan adalah manifesto terakhir BN yang masih belum ditunaikan dan sebarang implikasi kewangan akan dibentangkan dalam Bajet Negeri akan datang.

“ADUN lantikan ini bukan untuk kepentingan parti yang memerintah semata-mata, sebaliknya akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak yang mentadbir negeri pada masa hadapan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img