MELAKA boleh menjadi ‘model’ kebangkitan semula UMNO dengan pentadbiran yang stabil serta jentera akar umbi yang kukuh menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh kira-kira 150 hari lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, seluruh jentera parti perlu digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan kembali memihak kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus menjadikan Melaka sebagai penentu masa depan UMNO dan BN di peringkat nasional.
“Melaka akan menjadi rujukan masa depan UMNO dan bangsa Melayu. Kita tidak mampu rebah sekali lagi, kita tidak mampu tumbang untuk merempat di bumi sendiri.
“Kita mesti bangkit dengan semangat perjuangan dan bersolidariti dengan perjuangan UMNO ini untuk menunjukkan kita masih mampu menjadi parti yang hebat pada PRN yang akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ab Rauf, sejarah Melaka menjadi simbol kebangkitan bangsa Melayu yang pernah jatuh selama 446 tahun di bawah penjajahan Portugis dan Belanda sebelum kembali bangkit selepas tertubuhnya UMNO.
Menurutnya, laungan kemerdekaan pertama di bumi Melaka membuktikan negeri itu mempunyai nilai sejarah besar dalam perjuangan orang Melayu dan pembentukan negara.
“Sejarah ini mesti menjadi pengajaran supaya kita tidak lupa bagaimana sebuah bangsa pernah jatuh dan bagaimana ia bangkit semula,” ujarnya.
Beliau turut mengimbau kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 yang disifatkannya sebagai saat paling sukar buat UMNO.
Katanya, ketika ramai memilih meninggalkan perjuangan, masih ada pemimpin dan ahli yang kekal setia mempertahankan parti.
“Kita hampir rebah, kita hampir runtuh, tetapi kita tidak lari. Walaupun ramai yang lari, kita kekal sebagai pejuang yang terus duduk di hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO mesti terus menjadi Rumah Bangsa yang mampu menghimpunkan kembali orang Melayu di bawah satu perjuangan bersama.
Menurutnya, sambutan terhadap parti itu semakin positif apabila permohonan digital untuk menjadi ahli UMNO kini mencecah 14,000 permohonan.
“Kalau mahu berteduh, berteduhlah di pohon yang rendang. Pohon rendang itu ialah UMNO dan kita mesti menjaganya supaya perjuangan ini terus diwarisi generasi akan datang,” ujarnya.


