DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan tidak melebihi tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Rang undang-undang berkenaan diluluskan selepas memperoleh sokongan 23 ADUN, manakala lima lagi tidak menyokong.
Serentak dengan keputusan itu, DAP Melaka pada sidang media berasingan mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Terdahulu, usul bagi pindaan itu dibentangkan oleh Ab Rauf dan disokong Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Ab Rauf berkata, pindaan itu antaranya bagi memperkukuh representasi dalam DUN melibatkan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dalam bidang tertentu seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi dan pembangunan negeri untuk menyumbang secara langsung pada proses penggubalan dasar serta perbahasan.
“Kedua, memberikan ruang kepada kumpulan yang kurang diwakili. Pelantikan ini boleh meningkatkan penyertaan golongan wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional, wakil sektor industri yang mungkin tidak berjaya melalui proses pilihan raya, tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
DAP dalam sidang medianya mengumumkan keputusan itu diambil selepas Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN lantikan diluluskan pada Persidangan DUN hari ini.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong pada sidang media yang turut dihadiri empat ADUN DAP iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang); Kerk Chee Yee (Ayer Keroh); Low Chee Leong (Kota Laksamana) serta Leng Chau Yen (Banda Hilir).






