Minggu akhir latihan praktikal, pelajar UiTM maut bertembung pacuan 4 roda

MINGGU terakhir menjalani latihan praktikal bertukar tragedi apabila seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tawau-Bombalai, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang sedang menjalani latihan praktikal di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Merotai menuju ke PPD Tawau.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton yang terbabit pula ialah seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjawat awam.

“Wanita itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Imam ke Klinik Kesihatan FELDA Umas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Mitsubishi Triton dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, Mitsubishi Triton terbabas ke bahu jalan sebelum memasuki parit dan terbalik dengan bahagian bawah kenderaan menghadap ke atas.

Katanya, mangsa bersama motosikalnya tercampak kira-kira lima meter ke bahu jalan menghala ke bandar Tawau sebelum ditemui dalam keadaan terbaring di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.

“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu Mitsubishi Triton pula mengalami patah bahu serta tangan kanan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img