KERAJAAN Persekutuan ketika ini masih mempunyai mandat sehingga tempohnya berakhir dan apabila tiba masanya, barulah akan berlaku pilihan raya untuk menentukan siapa yang berhak mentadbir kerajaan seterusnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila tiba masanya tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada berakhir, maka akan berlaku pertempuran iaitu pertandingan dalam pilihan raya.
“Kita ada mandat sehingga pilihan raya. (Apabila sampai masanya), kita bertempurlah (bertanding semula). Tiada masalah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada Perdana Menteri berhasrat membubarkan Parlimen bagi mengembalikan mandat kepada rakyat susulan dakwaan wujud ketidaktentuan ekonomi dan politik.
Anwar menegaskan kerajaan mempunyai mandat mentadbir sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tentang mendengar suara rakyat, kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa.
“Jadi bagilah masa. Kita ada mandat, sampai pilihan raya, bertempurlah pula. Saya tak ada masalah itu. Saya pun tak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin. Kerana kita, fatawakkal ‘alallah, innallaha yuhibbul mutawakkilin,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, harga petrol di Malaysia kini lebih rendah berbanding Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau sekali gus menyifatkan janji yang pernah dibuatnya sebelum menjadi Perdana Menteri berhubung perkara itu (harga minyak diturunkan) sudah ditunaikan.
“Yang Berhormat Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid), harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu fakta pertama yang harus diingat,” katanya.
Anwar berkata, sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menggesa harga minyak diturunkan dengan harga petrol di Arab Saudi ketika itu sekitar 50 sen seliter.
Katanya, harga RON95 di Malaysia kini kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga petrol di Arab Saudi sudah meningkat kepada lebih RM2.40 seliter.
“UAE yang juga negara pengeluar utama minyak dan gas turut menaikkan harga bahan api sejak dua bulan lalu. Itulah realiti ekonomi yang sudah berubah.
“Kalau dikatakan janji saya dahulu ialah harga minyak mesti lebih rendah daripada Arab Saudi, maka janji itu sudah ditunaikan,” katanya menjawab soalan tambahan Rosol yang membangkitkan kenyataan Anwar ketika menjadi pembangkang yang mengkritik pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung harga bahan api.
Mengulas bantuan kepada rakyat, Anwar berkata jumlah keseluruhan bantuan disalurkan kerajaan ketika ini menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bersasar RON95 menerusi BUDI serta subsidi diesel adalah jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat perbandingan secara langsung kerana keadaan ekonomi serta hasil negara pada setiap pentadbiran adalah berbeza.
“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan mempunyai penyelesaian sempurna terhadap semua masalah ekonomi. Kita perlu sentiasa mendengar pandangan dan menyesuaikan dasar mengikut keadaan,” katanya.






