PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang dilaporkan sedia menjadi pembangkang di negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kenyataan tersebut masih belum jelas dan tidak wajar diperbesar sehingga menimbulkan kekeliruan politik.
Sebaliknya Anwar menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara selaras dengan titah institusi Diraja dan proses Perlembagaan.
“Kenyataan UMNO itu belum jelas, saya tidak mahu ulas bab itu. Cuma sekarang ini kalau isu institusi raja, saya dengar sendiri daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (untuk kekalkan kestabilan politik Negeri Sembilan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya hari ini.
Tambah Anwar, selepas mendengar sendiri pandangan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pihaknya menegaskan isu berkenaan tidak wajar dianggap sebagai krisis yang sudah muktamad.
Katanya, kerajaan Pusat kekal berpegang kepada prinsip menyokong sistem beraja serta mematuhi permintaan agar pentadbiran negeri terus stabil.
“Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada titah Diraja dan minta supaya keadaan stabil dan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) diteruskan (tugasan sebagai Menteri Besar),” katanya lagi.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO negeri itu rela menjadi pembangkang kerana tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan Aminuddin, berhubung krisis adat dan Perlembagaan negeri itu.
UMNO yang mempunyai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan empat daripadanya merupakan Exco kerajaan negeri baru-baru ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.


