EMPAT individu ditahan selepas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemui lokasi disyaki menjadi sarang penagihan dadah ketika menjalankan misi menyantuni golongan asnaf di sebuah kebun sawit di Jalan Perepat, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menahan dua wanita dan dua lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun dalam serbuan di lokasi berkenaan, Khamis lalu.
Menurutnya, semua tangkapan sudah dituduh di Mahkamah Telok Datok mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, Jumaat lalu.
“Wanita berusia 30-an yang dipercayai menerima bantuan zakat itu berasal dari Pulau Carey, Telok Panglima Garang, Selangor.
“Semua yang ditahan membabitkan suami, isteri, anak dan menantu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, hasrat sekumpulan petugas Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor untuk menyantuni seorang saudara baharu yang dipercayai hidup dalam keadaan daif berakhir dengan penemuan mengejutkan apabila sebuah penempatan di kebun sawit disyaki menjadi lokasi penyalahgunaan dadah.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan, pasukan SSU menerima maklumat daripada Pusat Perlindungan Mualaf (Baitul Salam) Zakat Selangor mengenai seorang wanita saudara baharu yang tinggal bersama beberapa individu lain di sebuah khemah tanpa bekalan air dan elektrik.
Susulan aduan itu, satu pasukan operasi digerakkan dengan kerjasama Operasi Agihan Daerah Kuala Langat, pihak masjid dan wakil kampung bagi menyantuni penghuni di lokasi berkenaan serta mengenal pasti permasalahan sebenar yang dihadapi mereka.
“Bagaimanapun, sebaik pasukan tiba di lokasi, semua individu terbabit melarikan diri dan bersembunyi di kawasan gelap ladang kelapa sawit.
“Pasukan mengambil masa lebih 30 minit memujuk mereka supaya memberikan kerjasama sebelum melakukan pemeriksaan di kawasan khemah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut LZS, pemeriksaan menemui beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan terlarang sebelum operasi dihentikan kerana perkara itu berada di luar bidang kuasa agensi kebajikan berkenaan.
“SSU kemudian membuat laporan polis dan menyerahkan kes kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Polis narkotik yang menjalankan pemeriksaan susulan mengesahkan semua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
LZS berkata, kejadian itu antara cabaran yang dihadapi petugas ketika menyantuni golongan asnaf kerana tidak semua kes dapat diselesaikan melalui bantuan kewangan semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ia memerlukan campur tangan pihak berkuasa bagi membendung kegiatan jenayah serta memastikan bantuan zakat disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.






