KEMAJUAN teknologi digital kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dunia. Daripada kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan hinggalah kepada ekonomi digital yang berasaskan data, setiap inovasi membuka peluang baharu kepada masyarakat dan industri.
Namun, perkembangan pesat ini turut menuntut satu pendekatan kawal selia yang lebih dinamik agar kemajuan teknologi dapat bergerak seiring dengan aspek keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan pengguna.
Atas kesedaran itulah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan komitmennya melalui penganjuran International Regulatory Conference (IRC) 2026, sebuah platform antarabangsa yang menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar, ahli akademik serta pemain industri untuk membincangkan masa depan tadbir urus digital.
Persidangan yang berlangsung pada 21 hingga 22 Julai 2026 di Shangri-La Kuala Lumpur ini membawa tema Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust dan akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Penganjuran IRC 2026 bukan sekadar menjadi medan pertukaran idea, malah mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membentuk dasar digital di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam era transformasi digital, isu berkaitan komunikasi, data dan teknologi tidak lagi bersifat domestik, sebaliknya memerlukan kerjasama rentas negara bagi menghasilkan dasar yang lebih mampan dan selaras dengan perkembangan global.
Antara fokus utama persidangan adalah usaha memperkukuh keselamatan ruang siber, khususnya dalam melindungi golongan kanak-kanak daripada risiko penyalahgunaan platform digital.
Perbincangan akan memberi penekanan terhadap tanggungjawab penyedia platform dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, di samping memastikan inovasi dan kebebasan bersuara terus dipelihara secara bertanggungjawab.
Dalam masa yang sama, peserta persidangan turut dijangka membincangkan isu berkaitan kedaulatan data, hak privasi pengguna dan tadbir urus maklumat. Perkara ini semakin penting apabila data menjadi aset strategik kepada ekonomi digital, sekali gus memerlukan dasar yang mampu melindungi hak individu tanpa mengekang pembangunan teknologi dan inovasi.
Satu lagi agenda penting adalah peranan kecerdasan buatan dalam membentuk ekonomi masa hadapan. AI bukan lagi sekadar teknologi baharu, tetapi telah menjadi pemacu kepada pelbagai sektor termasuk kewangan, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam.
Oleh itu, perbincangan mengenai etika AI, ketelusan algoritma, tadbir urus serta keseimbangan antara inovasi dan perlindungan pengguna dijangka menjadi antara topik yang mendapat perhatian utama sepanjang persidangan.
Kehadiran wakil daripada syarikat seperti Maxis, T&G Digital, Ericsson, Shopee Malaysia dan PwC Southeast Asia dijangka memperkayakan perbincangan melalui perkongsian pengalaman serta perspektif industri.
Lebih penting, IRC 2026 hadir pada saat dunia sedang berdepan pelbagai cabaran baharu seperti penipuan digital yang semakin sofistikated, ancaman keselamatan siber, penggunaan AI generatif serta keperluan membina kepercayaan terhadap platform digital.
Justeru, pendekatan kawal selia yang bersifat kolaboratif dan berpandangan jauh menjadi asas penting dalam memastikan teknologi terus memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengorbankan hak serta keselamatan pengguna.
Sebagai acara yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh utama, IRC 2026 dilihat mampu menjadi platform strategik untuk melahirkan idea, kerjasama dan dasar yang lebih responsif terhadap perubahan teknologi.
Walaupun persidangan ini dihadiri melalui jemputan, impak perbincangannya dijangka memberi sumbangan besar kepada pembangunan dasar digital Malaysia serta memperkukuh reputasi negara sebagai antara peneraju perbincangan mengenai tadbir urus digital di rantau ini.





