SEORANG pekebun sayur didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah membersihkan kawasan tanah kerajaan negeri seluas 0.101 hektar menggunakan jengkaut tanpa kebenaran di Pos Terisu, Cameron Highlands, tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali terhadap R Sathis, 29, di Mahkamah Sesyen di Raub, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Sathis didakwa membersihkan Tanah Kerajaan Negeri Pahang menggunakan jengkaut bagi tujuan pertanian tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa negeri.
Kesalahan itu dilakukan di Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Daerah Cameron Highlands, jam 6.30 petang pada 14 Januari 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian dikesan selepas pasukan Transformation Taskforce Cameron Highlands (TTF) membuat aduan berserta rakaman berhubung pencerobohan tanah kerajaan negeri.
Susulan itu, satu serbuan dilakukan diketuai Ketua Operasi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat, Mohd Ammar Syamim Kassim bersama anggota penguat kuasa.
Ketika serbuan, pihak penguat kuasa menemukan kawasan tanah yang sudah dibersihkan sebelum menemui sebuah jengkaut model Kubota U30-6S yang dipercayai digunakan bagi kerja pembersihan berkenaan.
Tertuduh kemudian hadir di lokasi dan mengaku sebagai pengusaha yang membersihkan kawasan itu, namun gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
Pihak penguat kuasa turut menyita jengkaut itu mengikut Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara.
Semakan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands pada 18 Jun 2025 mendapati kawasan pembersihan berkenaan berada di atas Tanah Kerajaan Negeri Pahang serta tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mana-mana individu.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan jengkaut yang disita UPNP dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui pihak pendakwaan.
Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi, Taqiuddin Azizan dan Noor Shazana Ghani mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






