POLIS menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan pembantunya selepas dikesan mengeluarkan surat palsu menggunakan Jata Diraja serta kepala surat Unit Tengku Mahkota Pahang bagi urusan pengurusan tanah.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Cyberjaya, Putrajaya kira-kira jam 11 pagi semalam.
Katanya, mereka kini direman empat hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.
Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas Istana Pahang mengesan beberapa dokumen palsu menggunakan Jata Diraja dan kepala surat Unit Tengku Mahkota Pahang pada 8 Julai lalu.
“Surat palsu itu turut tertera nama dan tandatangan seorang pegawai kanan Majlis Kesultanan Pahang (MKP) tanpa kebenaran.
“Dokumen itu dikesan selepas seorang ahli perniagaan menemui pegawai terbabit dan mengemukakan surat berkenaan untuk pengesahan,” katanya.
Azry berkata, ahli perniagaan terbabit mendakwa memperoleh dokumen itu daripada seorang lelaki bergelar Datuk yang menawarkan surat sokongan serta pelantikan kononnya dikeluarkan atas perkenan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Susulan itu, katanya, pegawai kanan MKP berkenaan merujuk perkara tersebut kepada Tengku Hassanal sebelum diarahkan membuat laporan polis kerana penipuan berkenaan membabitkan penyalahgunaan identiti rasmi Istana Pahang.
“Polis sedang menyiasat motif pengeluaran surat palsu itu dan nilai kerugian membabitkan kes berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana menipu serta pemalsuan dokumen.






