SEORANG guru praktikal berdepan enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia 14 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham, 25, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan melakukan enam perbuatan cabul yang berlainan terhadap mangsa yang berusia 14 tahun tiga bulan.
Mangsa juga adalah murid kepada tertuduh.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 1 pagi hingga 7.26 pagi pada 5 Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Chakadi, Ipoh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa, manakala tertuduh diwakili peguam, Ameer Firdaus Mohd Amir.
Raveenaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Bagaimanapun, Ameer Firdaus memohon jaminan sekitar RM5,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM5,000 lagi bagi tiga pertuduhan seterusnya.
Peguam itu berkata, anak guamnya yang juga anak kedua daripada tiga beradik bukan dalam kategori berisiko tinggi untuk melarikan diri.
“Tertuduh yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sudah selesai mengikuti latihan praktikal dan kini menunggu keputusan peperiksaan serta panggilan temu duga untuk kemasukan ke perkhidmatan awam.
“Beliau datang ke mahkamah hari ini bukan dengan tangan bergari kerana sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan bersedia memberi kerjasama penuh kerana berhasrat membersihkan namanya untuk meneruskan karier sebagai penjawat awam,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kes pertama dan RM5,000 bagi kes kedua dengan seorang penjamin, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan RM10,000.
Mahkamah turut menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.






