POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 9 bulan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Flat Pandan Jaya, Ampang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa remaja terbabit yang dimaklumkan isterinya mengenai kehilangan anak perempuan mereka kira-kira jam 5 pagi, 13 Julai lalu.
“Pengadu memaklumkan anak perempuannya keluar dari rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarga.
“Orang hilang (OH) dikenal pasti sebagai Norziah Jorhan, berusia 17 tahun 9 bulan, berketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat 56 kilogram, berbadan kurus dan berkulit cerah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lokasi terakhir remaja itu dikesan ialah di No. 5-04, Flat Pandan Jaya, Blok M8, 55100 Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Khairul Anuar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Alia Dyana Raimi di talian 017-6515201,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak dalam jagaan masing-masing serta tidak membiarkan mereka bersendirian.
“Orang ramai juga boleh menghubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.






