Bersatu tunggu apa lagi, tinggalkan saja PN…buktikan kekuatan sendiri di NS

MALAM tadi, Bersatu yang kecewa berikutan keputusan Pas menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini membuat keputusan akan bertanding di negeri itu menggunakan logo Bersatu.

Malah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak akan beralah jika berlaku pertembungan dengan calon Pas.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Malam tadi, Muhyiddin berkata, pertembungan itu  mungkin tidak boleh dielakkan, namun menganggap situasi tersebut berpunca daripada pembahagian kerusi belum dimuktamadkan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Bagi penulis, apa yang dilakukan oleh Bersatu adalah tepat dan itulah langkah terbaik. Ia kerana apapun yang Bersatu katakan, ia tidak akan mengubah pendirian Pas yang akan mengumumkan senarai calon malam ini.

Sepatutnya Bersatu bersyukur kerana melalui tindakan Pas itu, ia akan membuka peluag seluas-luasnya kepada Bersatu bahawa parti itu masih kuat walaupun tindakan meletak jawatan dan keluar daripada Bersatu oleh pemimpin dan ahli parti tersebut ‘semakin rancak’ dari semasa ke semasa.

Bersatu masih stabil, selagi ada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Tuan Faisal Ismail Aziz. Ia kerana pemimpin inilah yang memungkinkan Bersatu ‘terus bernafas’, malah mereka juga khususnya Azmin dan Radzi dianggap gandingan terbaik bagi menyelamatkan Bersatu.

Justeru Muhyiddin dan pemimpin Bersatu yang masih tinggal janganlah berdukacita sangat. Turunlah ke gelanggang PRN dengan penuh semangat bagi membuktikan mereka mampu menumbangkan tiga gabungan besar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Paling terbaik, Bersatu menerima cadangan  Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof Dr P Ramasamy supaya Bersatu keluar daripada PN.

Ketika mengemukakan gesaan itu, Ramasamy berkata Bersatu hanya menjadi ‘mangsa Pas’ dalam dua keadaan pertama melalui serangan yang dirancang sehingga membawa kepada pemutusan hubungan antara kedua-dua parti dan kedua, melalui tindakan Pas menyokong UMNO

Menurut Ramasamy, tindakan Pas itu telah melemahkan parti-parti komponen lain dalam PN sehingga menyebabkan gabungan dalam keadaan yang hampir lumpuh sepenuhnya.

“Ia tidak lagi mempunyai sebarang makna sebagai alternatif yang berkesan kepada BN. Nasihat saya kepada Bersatu adalah mudah dan jelas. Sudah tiba masanya untuk membentuk satu gabungan politik baharu yang benar-benar mampu mencabar BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Ramasamy berkata, Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), sebuah gabungan longgar yang menghimpunkan beberapa parti pembangkang termasuk Urimai serta parti-parti di luar PN, boleh menjadi platform bagi pembentukan gabungan besar pembangkang tersebut.

Oleh itu Bersatu tunggu apa lagi, terima sahaja cadangan Ramasamy. Bukankah Muhyiddin sendiri menegaskan, PN yang dipimpin oleh Pas telah menyimpang daripada matlamat dan dasar perjuangan PN. Antaranya mempertahankan ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama, kelas sosial dan wilayah.

“Kenyataan-kenyataan pemimpin Pas mutakhir ini turut mengundang kesangsian rakyat khususnya golongan muda, mengenai komitmen PN untuk terus mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang stabil, aman dan harmoni,” katanya pada sidang media khas pada Rabu.

Mungkin melalui IPR, Muhyiddin dan Bersatu boleh meneruskan perjuangan ‘yang tidak menyimpang’ daripada matlamat dan dasar perjuangan PN. Walaupun tidak lagi bersama PN, Bersatu boleh serapkan matlamat itu ke dalam IPR. Ia tidaklah aneh.

Kalau sebelum ini Bersatu boleh terus berada dalam  PN yang diterajui oleh Pas biarpun tiada lagi kerjasama politik dengan parti berkenaan. Tak lah mahu menyerap matlamat dan perjuangan PN terasa janggal pulak.

Lagipun PRN Negeri Sembilan adalah ujian besar kepada Muhyiddin. Selepas Bersatu gagal di Johor termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pagoh dikuasai BN, seharusnya Negeri Sembilan menjadi medan untuk menebus kekalahan tersebut.

Jika NS pun gagal, Muhyiddin seharusnya menyerahkan kepada Mohamed Azmin untuk menerajui Bersatu demi memastikan parti itu terus dapat berjuang dalam pilihan raya seterusnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img