SIASATAN kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari, Petaling Jaya minggu lalu memasuki fasa baharu selepas polis menahan seorang lagi suspek pada 13 Julai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Polis juga akan membuat permohonan sambung reman terhadap dua suspek yang ditahan sebelum ini pada pagi ini.
“Siasatan masih giat dijalankan dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 10 Julai lalu, polis menahan dua lelaki tempatan selepas seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan maut di sebuah hotel di Sunway Mentari.
Kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu kemudian direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Mangsa ditemukan tidak bernyawa selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 11.23 malam, manakala pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada tubuhnya.
Bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah disebabkan hentakan objek tumpul pada bahagian badan.
Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.






