Rakyat Negeri Sembilan rindu pentadbiran BN – Ahmad Zahid

RAKYAT Negeri Sembilan merindui Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah negeri itu kerana rekod pentadbiran parti komponen itu sebelum ini berjaya membawa pelbagai kemajuan selain keadaan politik yang sentiasa stabil.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu Negeri Sembilan perlu kembali dipimpin sebuah kerajaan yang lebih berwibawa, berpengalaman, diyakini rakyat serta mampu membawa melangkah lebih jauh.

“Kita ucapkan tahniah Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) dahulu adalah di antara negeri yang termaju di negara ini, begitu juga pemimpin BN yang jadi Menteri Besar sebelum itu membawa kemajuan kepada negeri ini.

“Wahai jentera BN, rakyat sedang rindu kepada BN untuk kembali memerintah, oleh itu balaslah kerinduan itu dengan bekerja dan memberikan harapan kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dan Pengumuman Calon BN di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa negeri di bawah pimpinan BN akan menjadi sebagai negeri yang paling ke hadapan dalam segala segi, sekali gus menjadi faktor utama rakyat memilih parti itu sejak lebih 60 tahun lalu.

Presiden UMNO itu berkata, sekiranya parti itu berjaya mengambil alih semula kerajaan di Negeri Sembilan, asas pembangunan yang dipasakkan akan dihidupkan semula.

“Justeru, Negeri Sembilan perlu kembali dipimpin sebuah kerajaan yang lebih berwibawa, untuk membawa lebih banyak kemajuan.

“Oleh itu, perlu diingat bahawa ini bukan masanya untuk kita berperang sesama sendiri dan bukan masanya untuk kita berpecah belah. Hari ini maruah kita menjadi taruhan, hari ini masa depan BN sedang dipertaruhkan,” katanya.

Beliau berkata, seluruh negara menyaksikan satu keputusan yang cukup bermakna apabila Bangsa Johor memberikan BN satu mandat yang cukup besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap kemenangan terbesar dalam sejarah BN di Johor.

Katanya, keputusan itu bukan sekadar kemenangan dalam sebuah pilihan raya negeri malah manifestasi keyakinan rakyat terhadap sebuah kepimpinan yang mampu memberikan kestabilan politik, memacu pembangunan ekonomi, mentadbir dengan penuh tanggungjawab.

“Bangsa Johor membuktikan bahawa BN kekal menjadi wadah politik yang benar-benar mencerminkan sebuah gabungan pelbagai kaum yang dibina atas asas saling menghormati dan tidak ekstrim.

“Kemenangan di Johor memberikan kita keyakinan, tetapi dalam politik, kemenangan semalam tidak pernah menjamin kemenangan hari esok.

“Kemenangan hanya akan menjadi milik mereka yang bersatu, bekerja tanpa mengenal penat lelah dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya,” katanya.

Beliau juga berharap semua jentera dan ahli parti dapat menerima dengan hati terbuka barisan calon yang diumumkan.

“Saya tahu ada yang kecil hati dengan Tok Mat, Tok Jalal (Datuk Seri Jalaluddin Alias), ramai kecil hati kepada saya. Saya minta maaf kerana tidak dapat memenuhi harapan 100 peratus.

“Yang kita pilih bukan calon yang kita sukai saja. Yang kita pilih ialah calon BN, calon yang mewakili parti kita, calon yang akan menangkan BN di Negeri Sembilan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img