DUA lokasi sekitar bandar raya Ipoh diserbu polis dengan membawa kepada penahanan 18 lelaki warga China yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian, Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, semua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah apartmen di Laluan Ipoh Permai 3, Apartment Ipoh Hill Permai dan membawa kepada penahanan 10 lelaki.
“Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah di Laluan Tasek Timur 5, Taman Tasek Indra dan berjaya menahan lapan lagi lelaki warga China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di kedua-dua premis itu turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM78,000,” katanya.
Mohd Alwi berkata, analisis awal terhadap peranti yang dirampas mendapati ia disyaki digunakan untuk mengendalikan aktiviti penipuan membabitkan penggunaan instrumen kewangan serta akaun bank milik pihak lain.
“Kesemua tangkapan bersama barang kes telah dibawa ke IPD Ipoh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.






