Pemilik syarikat didenda, simpan lebih 31,000 liter diesel bersubsidi

PEMILIK sebuah syarikat penghantaran barangan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bharu, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menyimpan 31,209 liter diesel bersubsidi tanpa kebenaran, empat tahun lalu.

Hakim Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizi Derani, 46, dan memerintahkan orang kena saman (OKS) dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Azizi didakwa mempunyai dalam kawalannya barang kawalan berjadual iaitu 30,972 liter minyak diesel yang disimpan dalam sebuah lori tangki serta 237 liter lagi dalam sebuah tangki besi yang diletakkan di belakang kenderaan pacuan empat roda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman di Lot 3661-B, Lorong Durian, Kampung Sinaran Baru, Skudai, di sini, kira-kira jam 1 petang pada 15 Ogos 2022.

Minyak diesel berkenaan didapati berada dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa OKS berurusan dengan barang kawalan itu secara runcit atau borong tanpa lesen.

Azizi didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam tertuduh, Nurul Hidayah Basiran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda lebih rendah dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya yang menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Katanya, Azizi merupakan penanggung tunggal keluarga dan menyara empat isteri yang tidak bekerja, 12 anak kandung, dua anak angkat serta lima anak tiri.

“Selain itu, anak guam saya juga orang kurang upaya (OKU) fizikal dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung kritikal selain baru menjalani pembedahan kecil membuang ketumbuhan di perut dua hari lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S Loganathan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

“Ini adalah kesalahan berulang OKS memandangkan dia pernah dihukum denda RM7,000 oleh mahkamah ini pada November tahun lalu.

“OKS juga pernah diberi peluang membayar kompaun RM100,000 bagi kes ini tanpa perlu melalui prosiding mahkamah, namun tidak berbuat demikian,” katanya.

Pada prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan 31,209 liter diesel bernilai RM74,901.60 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img