
POLIS mengingatkan kepada semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan agar tidak memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) sepanjang tempoh berkempen.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua pihak perlu mengelakkan sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi Diraja sama ada melalui ceramah, bahan kempen, kenyataan media atau media sosial.
Beliau berkata, polis komited memastikan PRN Negeri Sembilan ke-16 berlangsung dalam suasana aman, selamat dan teratur.
“Sehubungan itu, semua pihak diseru supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta bekerjasama dalam memelihara ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya.
“Bagi memperkukuhkan penyelarasan keselamatan, kami sudah mengadakan sesi taklimat bersama wakil parti politik bagi menjelaskan aspek keselamatan, pematuhan undang-undang serta tanggungjawab semua pihak.
“Bermula dari hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari mengundi sehingga pengumuman keputusan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Alzafny berkata, sepanjang proses penamaan calon dan tempoh berkempen, semua parti politik, calon serta penyokong perlu mengawal penyokong masing-masing serta mengelakkan provokasi, perarakan yang tidak dibenarkan, penyebaran berita palsu, fitnah, ucapan kebencian dan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Menurutnya, pada hari mengundi, semua pihak hendaklah memberi kerjasama kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis, selain menghormati hak pengundi serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu kelancaran proses pengundian atau mencetuskan kekecohan di pusat mengundi.
Alzafny berkata, selepas keputusan diumumkan, semua pihak diminta menerima keputusan dengan matang dan menggunakan saluran perundangan yang disediakan sekiranya mempunyai sebarang bantahan tanpa mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keamanan awam.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi. Polis menyeru semua pihak supaya terus memberikan kerjasama dan mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan PRN-16 Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan menghormati prinsip demokrasi negara,” katanya.






