BN jamin tiada pertindihan kerusi di Johor, Negeri Sembilan

BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan dalam proses agihan kerusi antara parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, semangat permuafakatan dalam gabungan itu membolehkan sebarang perbezaan pandangan mengenai calon dan agihan kerusi diselesaikan menerusi perbincangan bersama.

“Kita (BN) tidak akan ada pertindihan. Dari segi amalan BN, walaupun pada peringkat awal mungkin ada calon ini mahu ke tempat itu, calon ini mahu ke tempat ini, tetapi akhirnya itulah semangat BN.

“Akhirnya kami duduk bersama, kami membuat keputusan bersama dengan meletakkan calon itu pada kerusi yang telah dipersetujui bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri syarahan umum bertajuk Hubungan China-Amerika Syarikat dan Impaknya terhadap Malaysia yang disampaikan oleh Profesor Li Cheng di Putrajaya hari ini.

Mengulas proses agihan kerusi, Zambry berkata, perbincangan awal sudah diadakan dan setakat ini tiada sebarang isu dalam kalangan parti komponen.

“Pada dasarnya, kita tidak mendapati sebarang masalah untuk proses agihan itu dilakukan kerana perbincangan awal telah pun diadakan. Pada peringkat ini, kita hanya perlu memperkukuh lagi dari segi calon dan pembahagian kerusi kepada komponen,” ujarnya.

Mengenai pemilihan calon, Zambry berkata proses berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Pengerusi Perhubungan BN negeri, sebelum mendapat kelulusan Dewan Tertinggi BN.

“Soal calon diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan BN negeri untuk bekerjasama dengan kita bagi memastikan calon yang dikemukakan benar-benar sesuai. Mereka lebih mengetahui keadaan di peringkat negeri dan perkara itu akan dibincangkan di peringkat Dewan Tertinggi BN untuk kelulusan akhir.

“Yang paling mustahak ketika ini ialah meletakkan calon dalam kerangka perbincangan BN. Proses ini masih pada peringkat awal,” jelasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img