JIM periksa 266 individu di Forest City, tiada individu warga Israel setakat ini

SEBANYAK 256 daripada 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa di Forest City, Johor, susulan isu operasi Network School dikesan menggunakan Pas Lawatan Sosial manakala 10 lagi memegang Pas PLIK (Nomad).

Daripada 10 pemegang Pas PLIK (Nomad) berkenaan pula, empat daripadanya terdiri warga Amerika Syarikat, tiga warga Russia, dua warga Australia dan seorang warga India.

Pemeriksaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut membabitkan dua warganegara Malaysia.

Pas PLIK (Nomad) adalah pas yang dikeluarkan JIM kepada golongan profesional digital yang bekerja di Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada keseluruhan warga asing yang diperiksa, seramai 179 adalah lelaki dewasa manakala 87 lagi wanita dewasa.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dibuat dan pelbagai agensi juga sedang menjalankan siasatan berdasarkan skop dan peranan masing-masing.

“Bagi Imigresen, kami akan meneruskan siasatan dan berkongsi dapatan dengan agensi lain,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Terdahulu, Zakaria berkata, dakwaan terdapat warga Israel menyertai program Network School di Forest City, Johor menggunakan pasport negara kedua masih belum dapat disahkan berikutan tiada bukti ditemukan setakat ini.

“Siasatan berkaitan isu itu masih diteruskan oleh agensi terbabit bagi mendapatkan gambaran menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.

Isu operasi Network School di Forest City menjadi perhatian selepas kerajaan negeri Johor menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi program berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, KDN, JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.

KDN kemudian memaklumkan semakan dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan menerusi JIM, PDRM serta agensi berkaitan.

Kementerian itu turut menegaskan aspek keselamatan negara dan pematuhan undang-undang tidak akan dikompromi, selain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img