Imigresen tumpaskan Geng Shafik, kaut untung seludup migran RM15,000 seorang

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket didalangi warga Bangladesh dikenali ‘Geng Shafik’ yang mengaut keuntungan jutaan ringgit menyeludup migran dengan kos RM15,000 seorang, dalam serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki disyaki ahli sindiket dan sembilan migran dipercayai baru diseludup masuk kesemuanya warga Bangladesh berjaya ditahan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak Februari lalu dan dianggarkan telah mengaut untung mencecah RM1.6 juta menerusi kegiatan haram itu.

“Premis yang diserbu digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit migran haram digempur oleh pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya kira-kira jam 2 petang.

“Dalam serbuan itu, sembilan lelaki warga Bangladesh yang diseludup masuk ke negara ini telah ditahan. Berdasarkan keterangan, mereka masuk menerusi negara jiran sejak dua hari lalu sebelum diseludup ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, dua ahli sindiket turut ditahan disyaki berperanan sebagai penyelaras atau “fasilitator” dan penjaga rumah transit berkenaan.

“Mereka menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan.

“Migran yang masuk akan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi tertentu. Sindiket mengenakan bayaran bermula RM12,000 hingga RM15,000 dan dianggarkan mengaut keuntungan sebanyak RM1.6 juta sejak beroperasi,” katanya.

Zakaria berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img