
PAS bersedia berdepan dengan Bersatu sekiranya berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual pada 1 Ogos depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pertandingan antara parti merupakan perkara biasa dalam politik dan Pas tidak mempunyai masalah untuk menghadapi saingan tersebut.
“Kalau Bersatu akan bertanding di kawasan yang sama, kita lawanlah, tidak ada masalah.
“Adatlah, kalau pertandingan kita lawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu di Kota Bharu hari ini.
Mohd Amar diminta mengulas kemungkinan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan, termasuk di kerusi yang turut menjadi sasaran Pas.
Mengulas keputusan Bersatu menggunakan logo sendiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, tindakan itu mempunyai kelebihan dan kekurangan dari sudut politik Perikatan Nasional (PN).
“Kalau kita ambil sudut positif, pengundi lebih jelas membuat pilihan.
“Namun dari sudut negatif, ia mungkin memecahkan undi buat PN kerana Bersatu masih sebahagian daripada gabungan itu,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Menurut beliau, walaupun terdapat cabaran sekiranya berlaku pertandingan antara parti dalam gabungan sama, beliau melihat perkara itu dari sudut positif buat masa ini.






