TIGA maut manakala dua lagi terselamat selepas dihanyutkan arus deras kepala air yang melanda Sungai Sedim di Kulim petang ini.
Kejadian berlaku di Taman Eko Rimba Sungai Sedim di Karangan, Kulim menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang maut ditemukan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.27 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Mohamad Yazan Yahaya memberitahu, kejadian dipercayai berlaku apabila fenomena kepala air yang melanda kawasan air terjun menyebabkan beberapa mangsa dihanyutkan arus deras.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.
“Pasukan bomba segera menjalankan pencarian di kawasan puncak bukit serta sepanjang aliran sungai.
“Hasil maklumat orang awam, mayat ketiga-tiga mangsa berjaya dikesan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit sebelum dibawa keluar oleh pasukan bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Shamsul Sinring berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak dan seorang wanita.
Katanya, polis sebelum itu menerima laporan sekurang-kurangnya lima orang yang berkelah di kawasan sungai terbabit dihanyutkan kepala air.
“Selain tiga yang mangsa maut, seorang lagi mangsa telah ditemukan selamat. Kejadian disyaki berpunca dari kepala air yang datang secara tiba-tiba dan siren kecemasan di tempat kejadian mengalami kerosakan.
“Usaha mengesan mangsa yang hilang masih diteruskan di lokasi kejadian,” katanya, lapor Astro Awani.






