Pesalah akan bertanggungjawab bayar pampasan kepada mangsa, waris kemalangan

KEMENTERIAN Pengangkutan (MoT) hari ini memaklumkan pesalah kemalangan jalan raya bakal bertanggungjawab membayar pampasan kepada mangsa atau waris sebagai tambahan kepada hukuman penjara, denda dan hilang kelayakan memandu menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang sedang digubal kerajaan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu menyusul selepas Jemaah Menteri pada Rabu lalu (kelmarin) yang bersetuju secara dasar terhadap cadangan kementerian itu untuk mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya serta memperkukuh sistem pemberian mata demerit Keselamatan Jalan Raya (Kejara).

Menurut beliau, cadangan berkenaan bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja menerima hukuman jenayah, malah bertanggungjawab terhadap kesan perbuatan mereka ke atas mangsa dan keluarga mangsa.

“Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya kepada mangsa serta keluarga mangsa,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Anthony berkata, mekanisme baharu itu akan meliputi pelbagai kesalahan serius termasuk kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, pemanduan melulu dan kesalahan lain yang mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Beliau memberitahu, ketika ini mangsa atau waris lazimnya perlu memfailkan tuntutan sivil bagi mendapatkan pampasan, namun proses itu memerlukan kos guaman selain memakan masa yang panjang.

“Kadangkala mereka tidak mampu mendapatkan keadilan melalui mahkamah sebab perlu mengambil tindakan sivil dan melantik peguam. Bukan semua orang mempunyai kemampuan itu dan prosesnya boleh mengambil masa bertahun-tahun.

“Jadi sekarang ini kita nak letakkan mekanisme itu juga di bawah kes jenayah supaya ada elemen pampasan kepada keluarga mangsa,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.

Antara faktor yang akan dipertimbangkan adalah tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang dialami mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar.

Dalam masa sama, beliau berkata, hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil mengikut saluran perundangan sedia ada akan terus dikekalkan.

Mengulas proses seterusnya, Anthony memaklumkan, MoT akan mengadakan sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan, syarikat insurans serta pihak berkepentingan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan sebelum rang undang-undang dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan juga akan mengadakan bengkel bagi meneliti semua aspek pelaksanaan termasuk isu berkaitan takrif kecederaan serius, kaedah penentuan pampasan serta mekanisme sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayar.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana rang undang-undang (RUU) ini akan memberi kesan jangka panjang kepada sistem perundangan dan keselamatan jalan raya negara.

“Kita mahu menghasilkan satu kerangka undang-undang yang jelas, adil, boleh dilaksanakan serta mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Menurut beliau, jika proses penggubalan berjalan lancar, kerajaan menyasarkan rang undang-undang itu dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen hujung tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2027.

Anthony turut mencadangkan supaya rang undang-undang berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh dibuat sebelum ia diluluskan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img