SEORANG pengawal kelab malam didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa lalu selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap rumah bekas teman wanitanya di Batu Caves baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.08 pagi Isnin lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang juga bekas teman lelaki kepada kakak pengadu datang ke rumah pengadu dengan membawa senjata tajam sebelum mengamuk dan memecahkan cermin tingkap di ruang tamu rumah berkenaan.
“Kes berlaku di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pengawal kelab malam di sekitar Kuala Lumpur ditahan pada hari sama.
Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Selayang mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan sehari selepas kejadian.
“Suspek mengaku bersalah dan dikenakan denda RM2,000 atas perbuatan khianat,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ikhwanizam Ismail di talian 019-600 0468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222.
“Masyarakat turut diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dan berwaspada ketika berada di rumah, manakala rondaan berkala akan dipertingkatkan bagi mencegah kejadian seumpama itu,” katanya.






