MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan pelakon Zizie Izette Abdul Samad daripada pertuduhan bersubahat dengan suaminya, Bung Moktar Radin bagi memperoleh rasuah RM2.8 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan sebelum membebaskan Zizie.
Zizie didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 kerana bersubahat dengan Bung, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, berhubung dakwaan penerimaan rasuah berkenaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Bung, bekas ketua Umno Sabah dan pengerusi bukan eksekutif Felcra Bhd, didakwa pada 2019 atas tiga pertuduhan membabitkan RM2.8 juta yang diterima sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam dana unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima RM2.2 juta dan RM262,500 daripada ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015.
Dia turut berdepan pertuduhan ketiga iaitu memperoleh secara rasuah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan sama.
Bung memberi keterangan membela diri pada September tahun lalu. Selepas kematiannya, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak akan meneruskan pertuduhan terhadapnya, sekali gus menghentikan kes itu.
Bung dan Zizie didakwa pada Mei 2019, manakala perbicaraan bermula pada Januari 2020.
Kes itu berlanjutan selama tujuh tahun dan melalui beberapa perkembangan undang-undang, termasuk semakan Mahkamah Tinggi serta keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semula pertuduhan selepas Bung dan Zizie sebelum ini dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Pihak pendakwaan masih boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Fadhly Zamry mewakili pihak pendakwaan manakala K Kumaraendran, M Athimulan, Teh See Koon dan Ridha Abdah Subri mewakili Zizie.






