SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang ketua polis balai di Kelantan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah membabitkan wang kurang RM1,000.
Menurut sumber, pegawai berpangkat Sarjan Mejar berusia lingkungan 40-an itu ditahan pegawai SPRM kira-kira jam 2 petang ini.
Penahanan susulan satu laporan dibuat baru-baru ini oleh seorang lelaki tempatan.
“SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap pegawai berkenaan esok,” kata sumber itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi media mengesahkan penahanan itu, namun belum menerima maklumat penuh mengenai kes itu.
“Saya dimaklumkan dia ditahan bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah. Biarlah SPRM jalankan siasatan,” katanya.






