Bakri Sawir pertaruh rekod dua penggal di Klawang

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang Datuk Bakri Sawir mempertaruhkan rekod perkhidmatannya selama dua penggal sebagai wakil rakyat di kawasan itu dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Bakri, 67, berkata pendekatan sentuhan peribadi yang diamalkan sejak mula menjadi wakil rakyat pada 2018 kekal menjadi teras kempennya, memandangkan DUN Klawang mempunyai kurang daripada 14,000 pengundi, sekali gus membolehkannya mengenali dan mendekati sebahagian besar penduduk secara dekat.

Beliau berkata sepanjang menjadi wakil rakyat, pendekatan turun padang dari rumah ke rumah termasuk menyampaikan sendiri bantuan kepada penduduk tanpa menunggu mereka hadir ke pusat khidmat sentiasa menjadi keutamaannya.

“Sebelum ini saya memang buat kerja door-to-door (rumah ke rumah). Mana-mana bantuan, saya tidak panggil mereka (penduduk) datang kepada saya, sebaliknya saya sendiri pergi kepada mereka.

“Jadi saya harap mereka yang masih ‘di atas pagar’ dapat menilai prestasi perkhidmatan saya, berbanding wakil rakyat yang hanya datang lima tahun sekali,” katanya yang ditemui Bernama semasa berkempen di pasar minggu di Pekan Kuala Klawang di Jelebu hari ini.

Datuk Bakri Sawir beramah mesra bersama orang ramai ketika mengadakan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Minggu Kuala Klawang hari ini.

Bakri berkata antara janji yang dipegangnya sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018 ialah menetap di kawasan DUN Klawang bagi membolehkannya berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa, yang disifatkannya sebagai kelebihan dalam menghadapi PRN kali ini.

Mengakui walaupun tidak semua pengundi akan menyokongnya, beliau menghormati perbezaan pandangan serta menganggap politik sebagai wadah untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya selalu sebut, politik ini saya mahu jadikan sebagai ibadah dan jalan saya ke syurga. Kalau prinsip itu boleh diterima dan mereka mahu bersama saya, alhamdulillah. Kalau tidak, itu pilihan masing-masing,” katanya.

Mengulas perancangan sekiranya diberi mandat untuk penggal ketiga, Bakri berkata masih terdapat beberapa agenda pembangunan yang belum sempat direalisasikan dan akan terus diperjuangkan beliau pada masa hadapan.

Antara cadangan yang pernah dibangkitkan dan akan diteruskan, katanya ialah mewujudkan institusi pengajian tinggi di Jelebu bagi merancakkan pembangunan modal insan di daerah itu.

“Saya pernah mencadangkan Universiti Malaysia Negeri Sembilan sebagai contoh diwujudkan di sini. Keadaan kewangan sekarang agak menyukarkan tetapi visi ini kita akan teruskan,” katanya.

Selain itu, Bakri berkata tumpuan beliau kini adalah kepada projek yang lebih praktikal dan mampu memberi kesan segera kepada pertumbuhan ekonomi setempat, termasuk cadangan membangunkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Tembun, Hulu Klawang.

“Saya akan terus usahakan supaya Klawang mempunyai sebuah kawasan persinggahan yang sesuai…kalau kita dapat bangunkan kawasan itu dengan infrastruktur yang baik, saya yakin lebih ramai pelancong akan singgah dan berbelanja di sini, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut merancang membangunkan Bukit Tajali sebagai sebuah taman rekreasi yang menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung, sama ada untuk riadah santai mahupun aktiviti lasak.

Beliau juga berazam memperkukuh potensi agropelancongan Jelebu dengan memanfaatkan kesan peninggalan sejarah Batu Peringatan Inggeris di kawasan itu.

Pada PRN kali ini, DUN Klawang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Bakri, Danni Rais, 38, daripada Perikatan Nasional (PN), serta Muhammad Adib Musa, 25, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Sebanyak 889,490 pengundi berdaftar layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa, manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img