Tiga motosikal bertembung, dua remaja maut

DUA remaja maut manakala seorang lagi cedera selepas tiga motosikal terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.05 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila motosikal Honda EX5 yang bergerak terus dilanggar dari arah belakang oleh motosikal SYM BX110.

“Akibat pelanggaran itu, Honda EX5 terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan motosikal Yamaha Ego Avantiz.

“Penunggang SYM BX110, Muhamad Hazim Mohd Zawawi, 17, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, maut di tempat kejadian,” katanya.

Azli berkata, penunggang Yamaha Ego Avantiz, Muhammad Rifqi Rayyan Abdul Rahim, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, penunggang Honda EX5 berusia 15 tahun cedera dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, semua motosikal terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img