POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang sejak 17 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian orang hilang kira-kira jam 5.25 petang pada tarikh berkenaan.
Menurutnya, remaja terbabit dikenal pasti sebagai Qaseh Adriyana Zainal Abidin dan dilaporkan hilang oleh ibunya kira-kira jam 6.30 pagi.
“Remaja berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 150 sentimeter, berat 48 kilogram, berbadan kurus, berambut lurus dan berkulit sawo matang.
“Lokasi terakhir remaja berkenaan dikesan adalah di kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817.






