SEORANG lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an tanpa sebarang identiti atau dokumen pengenalan diri ditemukan meninggal dunia dengan kesan tikaman di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan kira-kira jam 8.40 pagi.
Menurutnya, sepasukan pegawai polis yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan awal bersama pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat senjata tajam pada tubuh mangsa.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Pegawai Perubatan Hospital Kajang mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan di bahagian abdomen berpunca daripada kecederaan tikaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti identiti mangsa, mengesan saksi serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






