Lelaki ditahan muat naik hantaran hina, sentuh isu 3R di Threads

SEORANG lelaki berusia 52 tahun ditahan polis selepas disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan serta menyentuh isu 3R membabitkan agama, kaum dan institusi diraja di aplikasi Threads.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, sebuah telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis menerima laporan berhubung hantaran dimuat naik di media sosial yang mengandungi kenyataan berunsur penghinaan serta menyentuh sensitiviti institusi diraja Negeri Sembilan semalam.

“Siasatan awal mendapati hantaran itu dimuat naik pada 17 Julai lalu dan pengadu menyedari kewujudan hantaran berkenaan kira-kira jam 9 malam kelmarin ketika berada di sebuah restoran di kawasan Senawang, Seremban, sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alzafny berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah Seremban, esok bagi permohonan reman.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan atau menyebarkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R sehingga menjejaskan ketenteraman awam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img