
PAKATAN Harapan komited untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan yang stabil, progresif dan inklusif. Manifesto ini berpaksikan keperluan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang mampan, peluang pekerjaan berkualiti, kebajikan yang menyeluruh serta pembangunan yang seimbang untuk seluruh lapisan masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sepanjang mentadbir negeri Pakatan Harapan telah membuktikan bahawa kerajaan yang stabil mampu membawa kemajuan yang nyata.
‘’Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh jaringan kebajikan rakyat, memperkasakan institusi pendidikan, memperluaskan pembangunan infrastruktur serta mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Peluncuran Manisfesto Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini di Seremban, malam ini.
Aminuddin yang bakan bertanding kerusi DUN Linggi berkata, Pakatan Harapan juga komited untuk menyemarakkan syiar Islam sebagai agama Persekutuan, memperkukuh institusi Islam negeri, memperkasakan pembangunan ummah, serta pada masa yang sama mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk, kebebasan beragama dan perpaduan rakyat sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
‘’Manifesto ini bukan sekadar menawarkan janji, tetapi merupakan kesinambungan kepada dasar yang telah terbukti berjaya dilaksanakan serta hala tuju baharu bagi membawa Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing, mampan dan inklusif menjelang tahun 2045,’’ katanya.
Manifesto itu mengandungi 10 perkata utama iaitu Kerajaan Stabil, Bersih DanMesra Rakyat,Memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), ekonomi berdaya Saing dan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, pendidikan berkuali untuk semua dan 20,000 Rumah Mampu Milik dan penyelesaian isu tanah.
Komitmen lain yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan ialah belia, wanita dan keluarga diberi keutamaan, pembangunan pelancongan dan warisan adat, kemajuan seimbang bandar dan luar bandar serta FELDA,pertanian moden dan keterjaminan makanan, infrastruktur strategik dan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan Perpaduan Agama, keharmonian dan kemajuan untuk semua,
Selain itu, dalam manifesto tersebut Pakatan Harapan berjanji menjayakan 5 projek berimpak tinggi bersama kerajaan pusat iaitu Menjayakan Seremban Sentral & Kekerapan Komuter Seremban–KL, menjayakan Hospital Baharu ,di Bandar Enstek, Nilai,Pelabuhan antarabangsa baharu Port Dickson, Pembinaan rumah kedua di Lot kediaman FELDA dan Merealisasikan Landasan Bypass Senawang–Port Klang.
Aminuddin berkata, Negeri Sembilan hari ini berada pada landasan yang betul.
‘’Kestabilan politik telah membolehkan kita mencipta rekod pelaburan tertinggi dalam sejarahcnegeri, menarik peluang pekerjaan baharu, memperkukuh kebajikan rakyat serta membina asas ekonomi yang lebih kukuh,’’ katanya.
Beliau berkata, Pakatan Harapan tidak sekadar menawarkan janji, tetapi meneruskan usaha yang telah terbukti membawa hasil.
‘’Manifesto ini merupakan komitmen kami untuk membina sebuah Negeri Sembilan yang lebih maju, makmur dan inklusif menjelang tahun 2045.
‘’Dengan mandat rakyat, kami akan meneruskan agenda pembangunan, memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyediakan peluang yang lebih luas kepada generasi muda serta memastikan setiap daerah menikmati pembangunan yang seimbang,’’ katanya.






