MENTERI Besar Negeri Sembilan , Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini bukan sekadar memilih ADUN tetapi juga pilihan arah tuju negeri
Katanya, ia sama ada mahu meneruskan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan mempunyai perancangan yang jelas atau mahu kembali kepada politik yang sentiasa berubah mengikut percaturan kuasa.
‘’Saya memilih untuk terus bercakap tentang masa depan. Kerana saya percaya rakyat Negeri Sembilan sudah matang. Rakyat tidak mahu politik yang memecah-belahkan. Rakyat mahukan politik yang menyatukan. Rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berjanji. Rakyat mahukan pemimpin yang mampu menunaikan amanah. Dan rakyat tidak mahu sekadar mendengar tentang harapan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis Peluncuran Manifesto Pakatan Harapan di Serembang, malam ini.
Aminuddin berkata, rakyat mahu melihat harapan itu diterjemahkan menjadi peluang, pekerjaan, pendidikan yang lebih baik, kehidupan yang lebih sejahtera dan masa depan yang lebih terjamin.
‘’Impian saya bukan sekadar melihat Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang lebih maju. Impian saya ialah melihat Negeri Sembilan menjadi negeri yang paling diyakini untuk melabur. Negeri yang paling selesa untuk didiami. Negeri yang paling mudah untuk membina keluarga. Negeri yang paling banyak melahirkan peluang kepada anak-anak muda. Dan negeri yang paling membanggakan untuk diwariskan kepada generasi akan datang, ‘’ tegasnya.
Atas sebab itulah kata beliau, Pakatan Harapan membawa visi Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia.
‘’ Itulah sebabnya kita mahu membina sebuah negeri yang maju ekonominya, seimbang pembangunannya, lestari alam sekitarnya dan tinggi kualiti hidup rakyatnya. Kerana saya percaya Negeri yang hebat bukanlah negeri yang mempunyai bangunan paling tinggi. Negeri yang hebat ialah negeri yang mempunyai rakyat yang paling yakin terhadap masa depan mereka,’’ kataya.
Aminuddin berkata, beliau tidak mampu menjanjikan bahawa perjalanan lima tahun akan datang akan sentiasa mudah.
‘’Dunia sedang berubah. Ekonomi global semakin mencabar. Persaingan semakin sengit. Tetapi saya boleh berjanji satu perkara.
”Selagi saya diberikan amanah, saya akan terus memimpin negeri ini dengan penuh tanggungjawab. Saya akan terus mempertahankan kestabilan yang telah kita bina bersama. Saya akan terus mengurus kewangan negeri dengan berhemah dan telus. Saya akan terus membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda,’’ katanya.
Beliau juga berjanji akan terus memperkukuhkan institusi Islam, memelihara Adat Perpatih dan mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi kekuatan Negeri Sembilan.
‘’aya akan terus memastikan setiap keputusan yang dibuat bukan untuk kepentingan hari ini semata-mata, tetapi demi masa depan generasi yang akan datang. Kerana saya tidak mahu anak-anak Negeri Sembilan membesar dengan impian untuk meninggalkan negeri ini. Saya mahu mereka membesar dengan keyakinan bahawa masa depan terbaik mereka berada di bumi yang mereka cintai ini,’ katanya.






