MCMC ambil langkah interim tangani salah guna imej AI

PENGGUNA yang menjadi mangsa penyalahgunaan imej atau maklumat peribadi menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) disaran membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC akan mengambil langkah interim berasaskan aduan bagi menangani isu berkenaan.

DATUK Seri Fahmi Fadzil ketika berucap merasmikan Persidangan Pengawalseliaan Antarabangsa (International Regulatory Conference, IRC) di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Beliau berkata, mekanisme perlindungan sementara itu dilaksanakan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada sementara menunggu kerangka khusus kawal selia AI siap digubal oleh Kementerian Digital.

“Laporan tidak hanya perlu dibuat kepada platform media sosial berkaitan, tetapi juga terus kepada pihak MCMC. Berdasarkan aduan ini, MCMC boleh mengambil beberapa tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Ini adalah langkah interim yang kita ambil berasaskan aduan. Sekiranya kita dapati jumlah aduan yang diterima adalah terlalu besar, beberapa tindakan lanjutan yang lebih tegas akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengawalseliaan Antarabangsa (International Regulatory Conference, IRC) di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Sebagai contoh katanya, MCMC sebelum ini pernah bertindak terhadap penyedia platform antarabangsa seperti Grok AI berhubung isu penjanaan imej yang tidak beretika.

“Pihak MCMC telah berhubung terus dengan pengendali platform terbabit untuk memastikan mereka meletakkan benteng keselamatan ‘guardrails’ yang ketat, dan perkara itu telah pun dilaksanakan.

“Walaupun kerangka khas AI masih digubal, proses kawal selia terus dijalankan. Mesej kita jelas, kerajaan menyokong inovasi dan pelaburan teknologi tetapi ia mesti seiring dengan usaha mengelakkan kemudaratan kepada rakyat,”katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img