Pekerja kedai perabot dipenjara 30 tahun, 12 sebatan bunuh anak kekasih

SEORANG pekerja kedai perabot dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Rayuan Kuching hari ini kerana membunuh anak teman wanitanya yang ketika itu berusia 13 tahun pada 2018.

Hakim Datuk Azman Abdullah menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara itu terhadap Yap Kak Min atas sabitannya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia membunuh remaja itu di sebuah rumah di Bandar Baru Tudan, Miri pada 9 Januari 2018.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Kuching menjatuhkan hukuman mati ke atas Kak Min selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan iaitu 9 Januari 2018 dan disebat sebanyak 12 kali, lapor FMT.

Hakim lain yang bersidang bersama Azman ialah Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr Lim Hock Leng.

Dalam menggantikan hukuman ke atas Kak Min, Azman berkata, hukuman mati hanya untuk kes paling jarang berlaku atau keadaan di mana kejutan terhadap hati nurani orang ramai menuntut pembalasan tertinggi.

Beliau berkata, kes ini bagaimanapun tidak termasuk dalam kriteria itu.

“Hukuman penjara tempoh panjang digabungkan dengan hukuman sebat akan memenuhi prinsip keadilan berbentuk pembalasan dan pencegahan,” kata beliau dalam penghujahan.

Menurut fakta kes, anggota polis menemukan Kak Min bertindak mencurigakan berhampiran jalan di Kuala Baram dan but keretanya terbuka ketika itu.

Apabila ternampak polis, tertuduh menutup but keretanya dan memecut sebelum ditahan berhampiran pelabuhan Miri. Selepas diperiksa, mayat seorang gadis ditemukan dalam but keretanya.

Dalam kes bunuh berasingan, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap warga China, Feng Shilin.

Shilin membunuh rakan sekerjanya, Wang Yingjin pada 17 Mei 2021 di sebuah asrama pekerja milik Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

Kedua-dua lelaki itu bertengkar beberapa kali berkaitan kerja pada hari kejadian. Shilin kemudian menikam leher Yingjin sebelum dihalang rakan sekerja lain.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Miri lapan hari kemudian.

Azman berkata, tiada merit untuk rayuan Shilin terhadap sabitan itu dan pembelaan warga China itu penafian semata-mata.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img