
DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, perasaan tidak puas hati parti tertentu kerana calon mereka tidak menjadi Menteri Besar menjadi punca krisis politik di Negeri Sembilan.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, sepanjang tiga tahun setengah menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah dengar sebarang dakwaan mana-mana parti bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar tidak tahu mentadbir, ada kes rasuah, tidak tolong Melayu dan hanya ikut telunjuk DAP.
‘’Tak pernah selama tiga tahun setengah saya jadi Perdana Menteri, dengar mana-mana parti bercakap soal itu, tetapi kenapa sekarang (tuduh) dia tak tolong Melayu..dia boneka DAP..habis tiga tahun setengah (tak ada dakwaan) itu apa?
‘’Sebab sebenar mereka tak puas hati kerana calon mereka bukan Menteri Besar..itu percubaan tebuk atap yang awal di Negeri Sembilan,’’ katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan DUN Paroi, Seremban malam ini.
Anwar berkata, beliau berusaha bersabar dan berunding dengan baik untuk mencari penyelesaian.
‘’Saya bincang bukan sekali malah 3 hingga 4 kali seminggu dengan pimpinan parti. Saya mahu dengar benarkah Melayu tergugat (di bawah kepimpinan Aminuddin) mustahil kalau Melayu tergugat tidak dibincang dengan saya.
‘’Rupanya bukan itu isunya..isunya nak rebut (jawatan Menteri Besar) …tak cukup jadi Menteri Besar (di negeri lain) nak pulak di Negeri Sembilan,’’ katanya.
Anwar menegaskan, jika kepimpinan Aminuddin mempunyai masalah ketara seperti tidak buat kerja, tidak turun padang dan tidak peduli masalah rakyat, beliau (Anwar) pasti mengambil tindakan.
‘’Saya boleh tukar Menteri Besar sebab saya ada pengaruh dalam Pakatan Harapan tetapi saya tengok track record Aminuddin (terbukti) beliau adalah calon terbaik (Menteri Besar) yang patut kita sokong,’’ tegasnya.
SEBELUM itu ketika berucap di Majlis Makan Malam Perpaduan di Taman Sri Penaga, Sikamat,Anwar mempersoalkan tindakan pihak lawan yang didakwanya terlalu ghairah berebut jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum PRN berlangsung.
Beliau berkata, keutamaan dalam pilihan raya sepatutnya ialah memilih wakil rakyat yang berkeupayaan mentadbir negeri dengan baik serta mengutamakan kebajikan rakyat, bukannya bertelagah mengenai jawatan.
“Lihat pihak sebelah sana. Berapa ramai yang sudah berebut hendak jadi Menteri Besar? Sebelum pilihan raya lagi sudah bergaduh mengenainya, dan mungkin selepas pilihan raya nanti akan terus bergaduh.
“Jadi, jangan beri mereka peluang untuk terus bergaduh sesama sendiri. Sebaliknya, berikan mandat kepada pemimpin PH yang telah membuktikan tumpuan mereka adalah untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.






