
SIKAP mencari sekutu baharu semata-mata untuk meraih kuasa tidak seharusnya menjadi budaya dalam politik negara ini, kata Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sehubungan itu beliau meminta pengundi berhati-hati terhadap pihak yang sering mengubah pendirian politik mengikut keadaan dan menolak politik ‘kahwin-cerai’ yang sering dilakukan oleh sesetengah parti politik.
“Mereka berkahwin dengan Barisan Nasional (BN) dulu kemudian bercerai, berkahwin pula dengan Pakatan Rakyat, kemudian bercerai pada 2015.
“Dia berkahwin balik dengan UMNO BN, tak lama berkahwin setahun lebih, cerai! Kahwin pula dengan Bersatu tapi diceraikan pula! Sekarang dia mengorat pula isteri (BN) kita!… Politik begini jangan kita izinkan terus berkembang di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakata Harapan di DUN Paroi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Sementara itu berucap di majlis yang sama, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil mendakwa, Pas menggunakan penyatuan Melayu sebagai modal politik bagi mendapatkan kuasa dan meraih sokongan dalam pilihan raya tersebut.
Oleh itu kata beliau, rakyat tidak seharusnya terperdaya dengan naratif tersebut sedangkan parti itu tidak mempunyai sebarang tawaran kepada rakyat.
“Untuk mereka mendapat kuasa dan menjadi kerajaan, mereka menggunakan penyatuan umat Melayu ini sebagai ‘candu’ untuk menipu kita. Jadi, jangan kita tertipu kerana mereka tidak ada apa-apa pun untuk ditawarkan kepada rakyat.
“Sebut tentang penyatuan umat Melayu, apa tawaran untuk menyelesaikan kemiskinan Melayu? Tiada.Apa tawaran untuk menyelesaikan masalah ekonomi, pendidikan dan sosial? Tiada. Tetapi yang mereka bicarakan hanyalah tentang penyatuan Melayu,” katanya.
Muhammad Faiz turut mendakwa bahawa Pas sebenarnya yang menjadi punca perpecahan orang Melayu dan ia terbukti apabila parti itu cuba bekerjasama dengan parti-parti lain sebelum ini, namun akhirnya berpecah.
“Mereka bercakap tentang penyatuan Melayu, tapi merekalah pemecah orang Melayu. Dulu berkawan dengan Bersatu kemudian bergaduh, selepas itu berkawan pula dengan UMNO.
“Jadi nampak tak permainan Pas yang memecahkan orang Melayu. Sebenarnya ini bukan penyatuan Melayu tetapi perpecahan Melayu,”katanya.






