AKAUNTABALITI dan pendekatan berteraskan rakyat adalah tonggak penting dalam membentuk masa depan digital yang selamat serta inklusif.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kemajuan digital tidak seharusnya diukur berdasarkan keupayaan teknologi semata-mata sebaliknya perlu turut mengambil kira aspek akauntabiliti, daya tahan dan sejauh mana inovasi memberi manfaat kepada kepentingan awam.

“Orang ramai tidak akan menilai teknologi hanya berdasarkan sejauh mana kecanggihannya tetapi mereka akan membuat penilaian berdasarkan sama ada teknologi itu selamat, adil dan boleh dipercayai. Pandangan kedua ialah teknologi dan akauntabiliti perlu berkembang seiring.
“Masa depan teknologi bukan sahaja ditentukan oleh perkara yang kita cipta tetapi juga pilihan yang kita buat tentang cara inovasi dikawal dan kepada siapa manfaatnya disalurkan,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang berlangsung selama dua hari di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur semalam.
Mengulas mengenai skala cabaran dalam talian, Nie Ching memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sejumlah 1.2 juta permintaan bagi menurunkan kandungan kepada platform media sosial antara 1 Januari 2022 hingga 15 Julai 2026.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1.138 juta kandungan yang memudaratkan berjaya diturunkan oleh penyedia platform.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai 2026, MCMC telah mengeluarkan sebanyak 377,502 lagi permintaan bagi menurunkan kandungan, bersamaan hampir 78 peratus daripada jumlah keseluruhan permintaan yang direkodkan sepanjang 2025.
“Angka ini mewakili purata kira-kira 1,900 permintaan bagi penurunan kandungan dikeluarkan setiap hari, dan sebagai tindak balas, platform terbabit telah menurunkan hingga 350,332 kandungan memudaratkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Nie Ching berkata, peraturan sahaja tidak mampu menggalas tanggungjawab bagi memastikan ruang digital kekal selamat khususnya berkaitan keselamatan dalam talian, perlindungan kanak-kanak dan akauntabiliti platform.
Justeru, beliau menggesa penyedia platform, pihak pengawal selia, sekolah, komuniti dan keseluruhan industri untuk mengambil pendekatan secara kolektif bagi memastikan aspek keselamatan diterapkan dari peringkat reka bentuk sistem bukannya hanya bertindak selepas berlaku kemudaratan.
Edisi ketiga IRC, bertemakan “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust” dan bermula Selasa adalah platform global anjuran MCMC yang menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar bagi membincangkan ekonomi digital selain isu kawal selia dalam sektor komunikasi serta multimedia.





