KERAJAAN akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat sebagai usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas kerajaan mengambil kira maklum balas dan rintihan rakyat meskipun pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan sebelum ini.
“Walaupun kita beri Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA, (di Negeri Sembilan) Datuk Seri Aminuddin bagi bonus tinggi kepada penjawat awam, adakah selesai masalah? Belum.
“Kerana itu, kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Senawang, Seremban malam ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk STR dan SARA jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.






