PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan supaya parti itu dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO, sebaliknya menegaskan Bersatu akan terus kekal sebagai wadah perjuangan politiknya.
Mengulas gesaan Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff supaya Bersatu dibubarkan, Muhyiddin berkata, tiada alasan munasabah untuk parti yang ditubuhkan hampir sedekad lalu itu ditamatkan.
“Saya tidak nampak sebab mengapa Bersatu perlu dibubarkan. Dalam tempoh 10 tahun ini, Bersatu sudah melalui satu perjalanan cukup bermakna dan bukan sebuah parti yang muncul seketika kemudian lenyap.
“Jadi, kalau dalam politik kita niat ni baik, kita nak tamatkan parti perjuangan kita atas sebab apa? Nak pergi mana? Duduk rehat? Patutnya dia menghormati hasrat kita. Dia sokong atau tidak itu soal lain.
“(Ini tidak, dia suruh) bubar je lah. Lepas tu minta semua masuk UMNO. UMNO dah penuh dengan macam-macam masalah. Saya pun dipecat oleh UMNO. Bukan saya keluar.
“Saya dipecat oleh UMNO dan kemudian baru saya memimpin Bersatu. Mengapa pula saya kena balik semula pada UMNO? Logik tak?” katanya semalam, lapor BH.
Kelmarin, Mohd Yussof menggesa Bersatu dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO, bagi menyatukan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Veteran UMNO itu dilaporkan berkata, Bersatu dilihat semakin terpinggir daripada arus perdana politik susulan krisis dalaman parti serta kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN), gabungan yang turut dianggotai Pas.
Katanya lagi, kegagalan Bersatu memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini juga menjadi petunjuk jelas parti itu semakin kehilangan sokongan rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, asas penubuhan Bersatu untuk meneruskan perjuangan demi bangsa, agama dan negara, justeru tidak timbul soal membubarkan parti hanya kerana ada pihak menggesanya berbuat demikian.
“Ini demokrasi, kalau tiada orang yang bersedia untuk masa, tenaga, perjuangkan bangsa, agama dan negara, terputuslah perjuangan kita. Jadi, jangan pandang serong (pada perjuangan Bersatu). Kata kita ini pengacau dan sebagainya.
“Saya punya pemikiran politik tidak seperti itu. Saya melihat ada benda dan sesuatu yang saya boleh buat untuk negara. Ini bukannya perjuangan bersendirian.
“Saya tubuhkan gagasan dan mempunyai satu pasukan yang besar dan kini ada 5,000 cawangan, ada setengah juta ahli di 180 bahagian.
“Saya juga pernah sebut dalam kalangan ahli saya, walaupun dalam perjuangan ini saya tinggal seorang, Bersatu akan terus kekal dan saya akan teruskan perjuangan ini,” katanya.






