Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung, temui maut.
Bumbung tercabut, mampu ditahan,
Jika ribut, diterbang ke laut
Buat julung-julung kalinya, mungkin buat pertama kalinya pada sidang media Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi membaca pantun.
Itulah yang berlaku di Hotel Bahang Bay, Balik Pulau hari ini apabila Ahmad Zahid membalas pantun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sedang berlangsung.
Pantun Perdana Menteri semalam berbunyi:
“Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan.
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.”
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN membalas pantun itu bagi menegaskan, komitmen BN untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Ahmad Zahid berkata, pantun berkenaan ditulisnya malam tadi selepas membaca puisi yang dikongsikan Anwar di Facebook.
Beliau juga Presiden UMNO berkata tidak wajar timbul sebarang keraguan terhadap komitmen BN dalam menyokong kerajaan pimpinan Anwar.
Ketika ditanya sama ada wujud sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan, beliau menafikannya sekeras-kerasnya.
“Tidak ada niat sedemikian. Tiada ‘Bangkok Move’ atau ‘Dubai Move’. Kami kekal komited berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Biarlah orang hendak berkata apa sekali pun. Kami telah membuat keputusan untuk terus bersama demi menjamin kestabilan politik negara. Kita perlu ikhlas dalam komitmen ini,” katanya.






