MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu penyediaan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, pembinaan 20,000 rumah mampu milik dan pemerkasaan Skim Sejahtera Rakyat (SSR).
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, manifesto itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya kesinambungan kepada pencapaian kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu serta hala tuju menjayakan aspirasi Negeri Sembilan Maju 2045.
Menurut beliau, penyediaan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi bertujuan memastikan lebih ramai anak Negeri Sembilan memperoleh pekerjaan berkualiti tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
“Pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negeri ini mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat.
“Kita mahu anak-anak Negeri Sembilan menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang sedang berlaku,” katanya pada sidang media di bilik sidang media utama PH, hari ini.
Beliau berkata, PH turut beriltizam menyediakan 20,000 rumah mampu milik bagi membantu lebih ramai keluarga muda memiliki kediaman sendiri.
Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan pelaksanaan Rumah Harapan selain mempercepatkan penyelesaian isu tanah dan hak milik.
Dalam pada itu, Cha berkata, Skim Sejahtera Rakyat akan terus diperkasakan bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun kepada rakyat bermula dari peringkat kelahiran, pendidikan, alam pekerjaan, perkahwinan sehingga usia emas.
“Inilah mesej utama manifesto Pakatan Harapan. Kemajuan Negeri Sembilan mesti dirasai oleh rakyat biasa.
“Anak tempatan mendapat pekerjaan bergaji tinggi, keluarga muda mampu memiliki rumah dan setiap rakyat menerima manfaat pembangunan tanpa mengira kaum atau latar belakang,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun mentadbir Negeri Sembilan, PH telah membuktikan kerajaan yang stabil mampu menarik pelaburan, memperkukuhkan ekonomi negeri serta memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan kepada rakyat.
Justeru, katanya, PH menyeru rakyat Negeri Sembilan terus memberikan mandat kepada gabungan itu bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi mencapai matlamat Negeri Sembilan Maju 2045.
“Hasil negeri untuk rakyat. Dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Kekal Harapan, Kekal Stabil, Negeri Sembilan Maju 2045,” katanya.





