Ceroboh tanah: Dakwaan kerajaan negeri berdiam diri tidak benar – Fahmi

PAKATAN Harapan (PH) menafikan dakwaan kerajaan Negeri Sembilan gagal mengambil tindakan terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kawasan sekitar Seremban, termasuk Kampung Pasir.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan negeri sebenarnya telah mengambil tindakan sejak menerima aduan rasmi berhubung perkara itu pada Julai 2022.

Menurut beliau, Pejabat Menteri Besar kemudiannya berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Seremban bagi menjalankan semakan terhadap dakwaan tersebut.

“Hasil semakan mendapati sebanyak 12 buah rumah dikenal pasti dibina di atas tanah kerajaan negeri dan tindakan susulan telah diambil oleh pihak berkaitan.

“Sebahagian penghuni telah diusahakan untuk dipindahkan, manakala beberapa aduan baharu turut diterima melalui Unit Penguatkuasaan PDT Seremban serta Majlis Bandaraya Seremban (MBS),” katanya pada sidang media di bilik sidang media utama PH, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah rumah yang dikenal pasti, lima telah ditawarkan rumah mampu milik kerajaan negeri dan proses pemindahan sedang dilaksanakan.

Katanya, bagi baki rumah yang terlibat, PDT Seremban telah menyediakan maklum balas serta cadangan tindakan untuk dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sehingga Mei lalu.

“Bagaimanapun, selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada awal Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), beberapa keputusan perlu ditangguhkan sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk.

“Maklumat yang kami terima jelas menunjukkan kerajaan negeri bukan sahaja sedang mengambil tindakan, malah tindakan itu telah dimulakan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Fahmi turut mendakwa kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menyebarkan dakwaan palsu atau maklumat yang tidak benar berhubung isu berkenaan.

Justeru, katanya, dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan isu pencerobohan tanah adalah tidak berasas kerana tindakan telah dimulakan sejak aduan diterima.

Terdahulu, tular di media sosial sepucuk surat aduan rasmi bertarikh 13 Julai 2022 yang diterima Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan berhubung dakwaan pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kawasan sekitar Seremban.

Surat itu turut membangkitkan dakwaan berhubung kutipan bayaran penempatan (settlement), campur tangan politik serta kelulusan utiliti yang didakwa meragukan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img