Kejam!Puak pemisah bunuh lima anggota renjer sedang bertugas di Narathiwat

LIMA anggota renjer Thailand terbunuh manakala enam orang awam, termasuk dua kanak-kanak, cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah pos kawalan keselamatan di daerah Rangae, Narathiwat semalam.

Menurut Komando Hadapan Wilayah 4, Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), enam lelaki berpakaian hitam yang menaiki sebuah pikap Nissan berwarna hitam melancarkan serangan ke atas pos kawalan Bukeh Sami di Mukim (Tambon) Tanyong Mat kira-kira jam 6.45 petang.

Penyerang melepaskan tembakan menggunakan senjata api serta membaling bom paip ke arah anggota keselamatan yang bertugas sebelum melarikan diri melalui Lebuhraya 4055 menuju ke Tambon Dusongyor.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Sarjan Mejar Satu (SM1) Theerayoot Somakerd serta empat anggota renjer sukarela iaitu Sakeereeya Jehna, Wimol Dapthong, Nathasit Kaeosena dan Solahuding Pi.

Enam orang awam turut cedera dalam kejadian itu, termasuk dua kanak-kanak.
Pihak berkuasa Thailand kini melancarkan operasi memburu kumpulan penyerang.

Serangan itu berlaku sehari selepas insiden letupan bom kereta berhampiran sebuah balai polis di daerah Muang, Narathiwat, pada malam Selasa.

Timbalan jurucakap Komando Hadapan Wilayah 4, Kolonel Ekwarit Chobchupol, mengecam serangan tersebut yang disifatkannya sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan” kerana dilakukan di kawasan komuniti sehingga mengorbankan serta mencederakan orang awam yang tidak bersalah.

Sejak kebangkitan semula gerakan pemberontakan di tiga wilayah sempadan selatan Thailand pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 7,700 orang telah terbunuh dalam pelbagai insiden keganasan.

Kerajaan Thailand kini berusaha menghidupkan semula proses damai yang sebelum ini terbantut dengan menyambung rundingan bersama kumpulan pemberontak, Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Ketua perunding baharu Thailand, Thanut Suvarnananda, berkata pasukan rundingan akan mengambil kira pandangan semua pihak yang terjejas akibat konflik di selatan negara itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img