Pas gesa proses semakan latar belakang organisasi, individu diperkukuh

PAS menggesa supaya proses semakan latar belakang terhadap pelaburan, organisasi dan individu asing diperkukuhkan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, gesaan tersebut bagi memastikan aspek keselamatan negara, kedaulatan, pematuhan undang-undang serta kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan sebarang pelaburan atau inisiatif antarabangsa dialu-alukan selagi mematuhi undang-undang negara.

Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, perkara tersebut penting supaya sebarang pelaburan tidak menjejaskan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan nasional.

“Pas menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan operasi Network School di Forest City dihentikan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Fadhli berkata, tindakan berkenaan menunjukkan tiada mana-mana pihak boleh diberikan layanan istimewa sekiranya didapati melanggar syarat lesen, peraturan atau undang-undang negara.

“Pas berpandangan bahawa tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran syarat lesen dan peraturan perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira status, kewarganegaraan atau latar belakang mana-mana organisasi.

“Kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas kepada setiap tindakan penguatkuasaan,” tegas beliau tetap mendesak siasatan oleh agensi penguatkuasaan diteruskan.

Beliau merujuk tanggungjawab itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan supaya meneruskan siasatan secara menyeluruh.

“Tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan ke Malaysia atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang negara,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, MBIP membatalkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) di Forest City serta mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa semalam (22 Julai) selepas didapati melanggar syarat pelesenan.

Keputusan itu menurut MBIP dibuat selepas pemeriksaan pada 12, 14, 19 dan 20 Julai mendapati beberapa pelanggaran termasuk operasi premis tanpa lesen, aktiviti tidak mengikut kelulusan serta papan iklan tidak mematuhi permohonan diluluskan.

MBIP menegaskan, tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil sekiranya syarikat berkenaan meneruskan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan syarat pelesenan.

Network School dilaporkan sebagai komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.

Komuniti itu menyasarkan golongan yang digelar techno-optimist dan mengenakan yuran melebihi RM6,000 sebulan yang merangkumi penginapan, makanan serta pelbagai kemudahan lain termasuk akses ke gimnasium.

Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, termasuk diperkatakan bahawa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img