SEORANG pengurus syarikat pembinaan dan kejuruteraan elektrikal di Kuantan, Pahang kerugian RM377,000 akibat terperdaya tawaran tender tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata mangsa berusia 49 tahun mendakwa dihubungi individu yang menawarkan tender pembekalan papan litar elektrik pada 13 Julai lalu.
Katanya, wanita itu diyakinkan syarikatnya berjaya memperoleh tender berkenaan dan dikehendaki membuat bayaran sebagai syarat untuk mendapatkan tender terlibat.
“Percaya dengan tawaran itu, mangsa membuat empat transaksi berjumlah RM377,000. Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi pihak menawarkan tender itu dan mendapati urusan tender yang dijanjikan sebenarnya tidak wujud,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 bagi tindakan segera sebelum membuat laporan polis semalam.
Akibat kejadian itu, katanya, pengurus terbabit mengalami kerugian RM377,000 membabitkan wang syarikat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Azry menasihatkan orang ramai, khususnya syarikat dan usahawan membuat semakan terperinci terhadap tawaran tender, selain membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.






