Geng Vinod tumpas, 21 kes jenayah selesai – Polis

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Vinod yang dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di sekitar Selangor sejak 2023 menerusi Op Rapido yang dilancarkan bulan lalu.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor pada 23 dan 24 Jun itu turut membawa kepada penahanan 11 ahli kumpulan terbabit serta menyelesaikan 21 kes jenayah.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan tersebut diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dengan keahlian seramai 17 individu berusia antara 20 hingga 34 tahun yang kebanyakannya merupakan penjenayah berulang.

Katanya, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, merusuh menggunakan senjata, menyebabkan kecederaan dengan senjata dan khianat.

“Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan samun bersenjatakan parang atau senjata tajam lain dengan menyasarkan premis kediaman selain melakukan pelbagai kesalahan serius bagi mendapatkan faedah material, kuasa atau pengaruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi khas itu, seramai 11 suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun diberkas dan kesemua mereka direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga esok.

Menurutnya, polis turut mengenal pasti identiti lima lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk cubaan bunuh, rompakan berkumpulan, khianat, mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, pecah rumah, ugutan jenayah, pemerasan, merusuh dengan senjata serta pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk pengedaran,” katanya.

Kumar berkata, kejayaan operasi itu bukan sahaja melumpuhkan sindiket rompakan berkumpulan bersenjata yang aktif di Selangor, malah membantu menyelesaikan sebanyak 21 kes jenayah.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Katanya, pada 17 Julai lalu, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat (UJB), Jabatan Peguam Negara sebelum arahan pertuduhan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan diperoleh terhadap kesemua 11 suspek.

“Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada jam 9.30 pagi esok,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img