SEBANYAK 11 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vinod’ sejak 2024.
Kesemua mereka iaitu T Saarvin, 21; R Shervinkumar, 23; J M Kishaan, 24; N A N Viknesvaran, 27; S Sri Tharan, 27; M Surenthar, 27; M Naviedran, 29; Muhammad Vinod Saktivel, 30; G Sanggeethan, 31; M Puvaneswaran, 34, dan Lawrence Alfred, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Husna Dzulkifly.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tuduhan kumpulan jenayah terancang di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vinod’ di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang antara April 2024 hingga 27 Jun 2026 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chow Siang Kong dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili oleh peguam T Mishant dan Shashi Devan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di kompleks Mahkamah Sepang pada jam 9 pagi, diiringi kawalan ketat oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas (Jenayah Berat) D9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas pada 23 dan 24 Jun lalu.
Menurut Kumar, operasi berkenaan dilancarkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Selangor bagi membanteras kumpulan jenayah terancang itu.
Beliau juga dilaporkan berkata, Geng Vinod diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 ahli berusia antara 20 hingga 34 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang.
Beliau berkata, kumpulan itu dikaitkan kes rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata serta khianat.






